Saturday, 15 February 2014

Nenek disamun kakitangan TNB palsu


Rabiayah memegang beg telekung yang diletakkan dalam biliknya untuk melindungi beg kecil berisi seutas rantai emas, loket, kad pengenalan dan gugusan kunci.

KUALA PILAH – Seorang warga emas kerugian RM1,000 apabila rantai emas dan loket miliknya disamun dua lelaki di rumahnya Kampung Tanah Melintang, kelmarin.


Mangsa, Rabiayah Isa, 74, berkata, kejadian berlaku jam 12.30 tengah hari selepas dia didatangi dua lelaki dengan memperkenalkan diri sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memeriksa bekalan elektrik di rumahnya.


Menurutnya, lelaki berkenaan membuka pintu pagar rumahnya dan terus meletakkan kenderaan di laman rumah.


“Makcik tergamam kerana mereka berani masuk ke dalam kawasan rumah makcik tanpa minta kebenaran.


“Mereka yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan TNB bertanya kepada makcik, ada sesiapa lagi di rumah, makcik beritahu makcik seorang sahaja kerana cucu pergi ke sekolah,” katanya.


Tambahnya, suspek kemudiannya masuk ke dalam rumah dan memeriksa suis utama bekalan elektrik manakala seorang lagi berbual-bual dengannya.


“Salah seorang daripada mereka meminta makcik membuka rantai kerana bimbang makcik akan terkena renjatan elektrik semasa pemeriksaan elektrik itu dilakukan.


“Makcik segera menyimpan rantai berkenaan dalam beg kecil yang berisi kad pengenalan dan gugusan kunci di bawah beg telekung dalam bilik,” katanya.


Bagaimanapun, Rabiayah memberitahu, dia tidak perasan waktu bila suspek mengambil beg kecil itu kerana dipercayai dirinya dipukau.


“Makcik hanya tersedar, beg kecil itu hilang selepas suspek beredar dari rumah, dan akhirnya barulah makcik tahu mereka bukan kakitangan TNB,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Melang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
 

Unknown

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation.

0 comments:

Post a Comment

 

Copyright @ 2014 Gosip-Gosip.

|