Pelakon Cristina Suzanne diugut artis lelaki digelar M - Heroin filem KIL, Cristina Suzanne meluahkan perasaan terkejutnya kepada mStar berhubung laporan sebuah akhbar mingguan yang mendakwa kemunculannya semula dalam dunia lakonan tidak disenangi oleh seorang artis lelaki.
Menurut Cristina, dia tidak pernah bermusuhan dengan mana-mana pelakon lelaki apatah lagi jejaka yang namanya bermula dengan huruf M. Dia juga meminta agar individu yang tidak berpuas hati dengannya menghentikan perbuatan sia-sia itu.
"Sehingga laporan itu keluar saya sendiri tidak pernah mengetahui ada seorang pelakon lelaki yang tidak senang dengan saya malah saya juga tidak kenal dengan mana-mana pelakon yang namanya bermula dengan huruf M."
"Saya terkejut dan pada masa sama berasa pelik kerana saya tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa."
Dalam pada itu, Cristina atau nama sebenarnya Cristina Suzanne Stockstill, 29, menyangkal dakwaan pernah diugut oleh mana-mana pihak berhubung perkara itu seperti yang dilaporkan akhbar mingguan berkenaan.
Dia turut menegaskan tidak pernah mengganggu periuk nasi mana-mana artis apatah lagi memusuhi mereka.
"Alhamdulillah setakat ini saya tidak pula bermusuhan dengan sesiapa dan sekiranya gosip berkenaan benar harap-harap pihak itu menghentikan perbuatan tersebut kerana ia tidak berfaedah."
0 comments:
Post a Comment